Pas sedia letak calon
REMBAU – Jabatan Pilihanraya Pas Kawasan (JPrK) Rembau telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU14 termasuk meletakkan nama calon di kerusi Parlimen Rembau dan empat kerusi Dun di bawahnya.
Pengarah JPrK Pas Kawasan Rembau, Rozmal Malakan berkata, pada PRU12, Pas telah memberi laluan kepada PKR untuk bertanding mewakili kerusi Parlimen Rembau.
Menurutnya, sebelum PRU12, kerusi Parlimen Rembau ditandingi oleh calon Pas dan pada PRU14 ini, pihaknya sudah menghantar sekurang-kurangnya tiga nama calon di kerusi parlimen dan Dun di Parlimen Rembau.
“Kesemua calon sudah sepakat dan segala urusan dalam dalaman terutamanya soal pemilihan calon sudah pun mencapai persefahaman. Apa yang penting, Pas kawasan Rembau tidak akan sesekali mengalah dan akan terus mendekati pengundi seperti sebelum ini.
“Bagi kita pengundi ini sukar dijangka dan kita akan terus mengalu-alukan mana-mana individu untuk menyertai kita sebagai sukarelawan pilihan raya Pas Rembau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Rozmal berkata, pihaknya menyasarkan pengekalan kemenangan satu kerusi Dun di Parlimen Rembau dan di tiga Dun lain, pihaknya menyasarkan peningkatan jumlah undi buat Pas.
Menurutnya, di Dun Kota khususnya, terdapat kira-kira 15 Jabatan Pilihan raya Unit (JPrU) dan dianggarkan persediaan yang telah dibuat adalah sebanyak 60 peratus.
“Manakala, di Dun Chembong, terdapat kira-kira 12 JPrU di mana dianggarkan sebanyak 45 peratus persediaan telah dibuat.
“Setiap Dun mempunyai Jabatan Pilihan raya Dun masing-masing dan telah melaksanakan pelbagai program mendekati pengundi," katanya.
Tambahnya, pada 18 Mac ini, satu program Konvoi Bermotosikal dan Kereta Jelajah Pas Kawasan Rembau akan dilaksanakan bermula dari Kota pada jam 8.30 pagi hinggalah ke Pasti Al-Hikmah, Taman Tuanku Jaafar.
#prusinar #aparakyatmahu
SUMBER SINAR HARIAN
