PRU14: Gerakan muktamad calon di Kedah
ALOR SETAR - Parti Gerakan memuktamadkan calon PRU14 di dua kerusi Dun Kedah, dengan menamakan Timbalan Presidennya merangkap Pengerusi Gerakan Kedah, Datuk Dr Cheah Soon Hai di Dun Derga manakala Dun Sidam, mencalonkan Bendahari Gerakan Kedah, Tan Kok Seong.
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Kong membuat pengumuman itu selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Gerakan Kedah, di pejabat parti itu, hari ini.
Katanya, parti itu juga yakin dapat merampas semula kerusi Dun Derga dan Sidam, setelah menamakan calonnya lebih awal berbanding parti lain.
Dengan pemilihan calon lebih awal, membolehkan mereka bekerja lebih awal untuk selesaikan masalah dibangkitkan rakyat dan tidak menunggu di saat akhir menjelang pilihan raya,” katanya,
Menurutnya, bagaimana pun sebarang perubahan akhir tertakluk pada pucuk pimpinan tertinggi parti itu, namun yakin calon disenaraikan itu akan diterima semua pihak.
“Kedua-dua calon itu bekerja sejak empat tahun lepas, walaupun tidak bergelar wakil rakyat. Saya yakin rakyat Kedah akan menilai prestasi mereka, yang bukan hanya pandai cakap dalam tempoh dua minggu berkempen sahaja,” katanya.
Siew Kong berkata, keyakinan itu juga dipengaruhi oleh kekalahan tipis parti itu pada PRU13 lalu.
Pada PRU13, calon BN dari Gerakan, Bee Sieong Heng tewas kepada calon Pakatan Rakyat, Robert Ling Kui (PKR) dengan majoriti 5,964 undi di Dun Sidam bawah Parlimen Sungai Petani.
Manakala Dun Derga bawah Parlimen Pokok Sena dimenangi Tan Kok Yew (DAP) menewaskan Dr Cheah Soon Hai dengan majoriti 1,156 undi.
“Selepas kekalahan itu, Gerakan melantik penyelaras dan bekerja sejak 2013, sebab itu kami yakin mampu tawan semula kerusi Derga dan Sidam. Prestasi BN Kedah juga cemerlang dengan meningkatkan ekonomi negeri dan laksana pelbagai program kebajikan rakyat,” katanya.
Siew Kong berkata, Soon Hai berpotensi menang di Derga ekoran komitmennya terhadap pengundi di kawasan sejak mula bertanding di situ, manakala Kok Seong diyakini turut berpeluang walaupun merupakan calon ‘underdog’.
Mengulas dakwaan Derga dan Sidam merupakan kubu kuat pembangkang, katanya, pihaknya menaruh keyakinan terhadap calonnya yang ‘dekat di hati rakyat’ selain yakin mampu meraih semula sokongan Cina.
“Jika pembangkang dakwa itu kubu kuat mereka, kami juga yakin dengan peluang yang ada dan mampu tarik penyokong Cina melalui prestasi calon, komitmen ditunjukkan serta keprihatinan mereka terhadap pengundi di kawasan,” katanya.
Siew Kong turut tegaskan, Gerakan akan membantu jentera BN di kawasan ditandingi rakan komponennya untuk pastikAan kemenangan BN.
“Semua jentera parti di bahagian Gerakan siap siaga dan sudah wujudkan organisasi untuk bantu rakan komponen,” katanya.
Pada majlis itu, Siew Kong menyerahkan watikah pelantikan penyelaras Dun (BN) ditandatangani Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kepada Soon Hai dan Kok Seong.
Sementara Soon Hai yakin sokongan Cina akan memihak kepada Gerakan pada PRU14 susulan Pas bukan lagi sebahagian daripada gabungan pembangkang.
“Pada 2013, kita kalah atas faktor berlakunya tiga penjuru, ketika itu Pas dan DAP bergabung, bermakna undi Pas diberikan kepada DAP. Kali ini situasi berbeza, undi Pas tidak lagi memihak kepada DAP,” kata bekas Adun Derga (2008-2013) itu.
Menurutnya, situasi sama di Sidam, di mana kemenangan PKR di kawasan itu turut dipengaruhi undi Pas sebelum ini.
“Dulu Pas bantu kempen DAP, sekarang mereka musuh utama. Saya akui ada beberapa kawasan di Derga kubu kuat Pas, dan saya kalah ketika itu adalah disebabkan kekuatan Pas. Sekarang sokongan Pas bukan lagi pada DAP, peluang Gerakan rampas semula lebih cerah,” katanya.
Soon Hai berkata, sekiranya pertandingan tiga penjuru pada PRU14 tidak dapat dielakkan, parti itu akan berusaha menerusi pendekatan mesra rakyat untuk meraih sokongan.
#prusinar #aparakyatmahu
